KOTA KINABALU: Penerbangan terus dari Kota Kinabalu dan Incheon dilihat membuka peluang lebih luas kepada usahawan serta pemain industri tempatan di Sabah untuk menembusi pasaran Korea Selatan menerusi penganjuran Malaysia Fair in Seoul 2026 yang dijadual berlangsung pada 7 dan 8 November depan.
Pengarah Urusan Fazbuzz Events & Media Sdn Bhd, Fazura Azima Ag Sha berkata, penerbangan terus itu menjadi antara kelebihan strategik dalam memperkukuhkan hubungan perdagangan, pelancongan, pendidikan dan pertukaran budaya antara Malaysia dan Korea Selatan.
Menurutnya, selain laluan Kuala Lumpur–Incheon, penerbangan terus Kota Kinabalu–Incheon turut membolehkan Sabah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan produk, destinasi pelancongan dan potensi pelaburan negeri ke pasaran Korea.
“Kita mempunyai dua penerbangan terus iaitu dari Kuala Lumpur ke Incheon dan dari Kota Kinabalu ke Incheon. Jadi fokus kita adalah kepada keseluruhan Malaysia,” katanya pada sidang media Malaysia Fair in Seoul bertempat di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, penganjuran Malaysia Fair in Seoul bukan sekadar pameran pengguna, sebaliknya merupakan platform pelbagai sektor yang diwujudkan bagi memperkukuh hubungan perdagangan, pelancongan, kebudayaan, inovasi dan pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.
Katanya, penyertaan dibuka kepada antara 46 hingga 50 pempamer melibatkan pelbagai sektor termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), makanan halal, pertanian, pelancongan serta institusi pendidikan.
“Ini adalah peluang kepada syarikat Malaysia untuk mempromosikan produk mereka dan menembusi pasaran global di Korea Selatan,” jelasnya.
Mengulas pemilihan Seoul sebagai lokasi penganjuran, Fazura berkata, bandar raya itu dipilih kerana merupakan pusat ekonomi dan ibu pejabat konglomerat global terbesar Korea Selatan sekali gus menjadikannya lokasi paling strategik untuk memeterai kerjasama perniagaan (B2B) pelbagai sektor.
Beliau berkata, lokasi acara di Dongdaemun Plaza yang menerima lebih 20,000 pengunjung setiap hari dijangka memberi pendedahan meluas kepada produk dan perkhidmatan Malaysia.
Malaysia Fair in Seoul turut mendapat sokongan Kedutaan Malaysia di Seoul, Tourism Malaysia Seoul dan MATRADE Seoul bagi memastikan objektif memperluaskan pasaran produk Malaysia di Korea Selatan dapat dicapai.
Sesiapa yang berminat menyertai Malaysia Fair in Seoul 2026 boleh mendapatkan maklumat lanjut serta membuat pendaftaran menerusi laman web rasmi www.malaysiafairseoul.com atau mengikuti media sosial rasmi penganjur melalui Linktree @myfairseoul.