TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun menjadi mangsa amukan abang tirinya yang memukulnya menggunakan batang penyapu sebelum mengugut mahu menggantung adik-adiknya yang lain di sebuah rumah di Batu 3, Jalan Apas, di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, suspek warga asing berusia 40-an dipercayai mengamuk sebelum bertindak memukul adik tirinya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan kira-kira jam 2 petang tadi di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Aman, Batu 3, Jalan Apas.
Menurutnya, suspek ditahan selepas polis menerima maklumat daripada ibu mangsa berhubung kejadian berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Dalam kejadian itu, suspek dipercayai mengamuk sebelum memukul adik tirinya menggunakan batang penyapu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, suspek turut disyaki mengugut mahu menggantung adik-adik dalam keluarga berkenaan sekiranya ibu mereka keluar bekerja.
“Perbuatan itu bukan kali pertama berlaku apabila suspek dikatakan sering mengamuk sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan ahli keluarga mangsa,” katanya.
Beliau berkata, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang disyaki melakukan penganiayaan atau mengancam keselamatan kanak-kanak.
“Polis akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang,” katanya