KBS Beri Perhatian Pembangunan Belia, Sukan Sabah

KOTA KINABALU : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia memberi perhatian terhadap pembangunan belia dan sukan di Sabah menerusi pelaksanaan pelbagai program serta pelan tindakan yang dirangka sehingga hujung tahun 2026.


Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pembangunan belia tidak seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab satu kementerian sahaja, sebaliknya memerlukan semua kementerian dan Kerajaan Negeri bagi memastikan agenda pembangunan generasi muda dapat dilaksanakan secara menyeluruh.


“Sabah mempunyai potensi besar dalam pembangunan belia memandangkan lebih 60 peratus daripada populasi terdiri daripada golongan belia.


“Oleh itu, program yang dirancang amat penting bagi memastikan kita melahirkan lebih ramai pemimpin yang hebat di negeri ini untuk menjadi pelapis masa depan negara.


“Program yang telah dilaksanakan dan dirangka sehingga hujung tahun turut melibatkan semua kementerian dan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.


Dalam kunjungan tersebut, Taufiq turut memberi penerangan kepada Tun Musa berkaitan perkembangan terkini program kementerian, pelan tindakan pembangunan belia serta projek pembangunan sukan di Sabah.


Katanya, pembangunan infrastruktur sukan di Sabah turut diberi perhatian dan negeri itu tidak ketinggalan dalam menerima kemudahan serta projek pembangunan sukan.


“Persiapan atlet Sabah menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) juga berada dalam keadaan baik hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” tambahnya.


Turut hadir, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Rahimi Ismail, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Mohd Hijri Mat Rani dan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sabah, Noorman Ramlan.