KOTA KINABALU: Simposium Kehakiman dan Perundangan menjadi wadah menghimpunkan pengamal dan pakar perundangan bagi berkongsi pandangan serta meneroka pendekatan terbaik dalam memperkukuh kedudukan perundangan Syariah di Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata, simposium berkenaan akan melibatkan hakim, pendakwa, peguam, ahli akademik serta pihak berkepentingan bagi menggabungkan pandangan dan pengalaman daripada pelbagai sudut berkaitan pelaksanaan perundangan Syariah.
“Penganjuran simposium ini merupakan cetusan idea Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bagi membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk duduk bersama, berbincang dan mencari pendekatan yang dapat mempertingkatkan kedudukan perundangan Syariah.
“Kami amat berbesar hati kerana Tun Musa sendiri telah memberikan banyak idea dan kaedah yang harus kita terokai untuk mencapai hasrat meletakkan perundangan itu di tempat yang sewajarnya dan selayaknya,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Mohd Amran berkata, kunjungan itu turut bertujuan untuk menjemput Tun Musa bagi menyampaikan perutusan dan menyempurnakan perasmian Simposium Kehakiman dan Perundangan yang akan diadakan pada 12 Ogos.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sabah turut menunjukkan komitmen dalam memperkukuh kedudukan perundangan Syariah menerusi kelulusan beberapa enakmen berkaitan.
“Enakmen Pengangkatan Anak Orang Islam telah diluluskan dan berkuat kuasa pada Disember 2024, manakala Enakmen Pewarisan Orang Islam pula diluluskan Dewan Undangan Negeri pada tahun ini.
“Jadi ini adalah rentetan-rentetan yang menunjukkan komitmen yang tinggi dan turut membuka ruang kepada kita untuk terus menerokai bidang-bidang yang boleh meletakkan perundangan Syariah itu atas landasan yang betul dan dihormati,” ujarnya.
Jelas beliau, lebih 600 peserta dijangka menyertai simposium berkenaan dan jumlah itu dijangka terus bertambah, termasuk penglibatan pelajar universiti khususnya yang terlibat secara langsung dalam bidang perundangan.
Penyertaan pelbagai lapisan termasuk generasi muda penting bagi memberi pendedahan serta memperluas kefahaman mengenai kedudukan dan perkembangan perundangan Syariah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Hadir sama, Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah; Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid, Datuk Abas Nordin dan Noor Hadina Ahmad Zabidi.