Hari Sabah Wadah Kukuh Perpaduan, Keharmonian Rakyat

SANDAKAN : Sambutan Hari Sabah perlu terus dijadikan wadah untuk memperkukuh perpaduan, keharmonian dan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.


Ahli Dewan Negara, Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian berkata, penghayatan terhadap sambutan Hari Sabah yang memasuki tahun ketiga pada 2026 bukan sekadar memperingati sejarah dan identiti negeri, sebaliknya menjadi platform untuk membina semangat kebersamaan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum.

“Marilah sama-sama kita mengimarahkan setiap majlis yang dianjurkan oleh pihak kementerian, kerajaan, agensi ataupun mana-mana NGO dan menyertai setiap program yang dianjurkan kerana di situlah akan membangkitkan semangat kebersamaan, perpaduan, keamanan dan kemakmuran kita.

“Program ini bukan tertumpu kepada satu-satu kaum tetapi melibatkan seluruh lapisan masyarakat bagi membangkitkan semangat patriotisme kepada negeri dan negara yang kita cintai,” katanya ketika ditemui media pada Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) dan Hari Sabah 2026 Daerah Sandakan di Dewan Serbaguna Kg. Batu Putih, pada Rabu.

Menurut Anna, penghayatan terhadap Hari Sabah juga perlu bermula daripada keluarga sebelum dikembangkan kepada komuniti dan masyarakat setempat kerana keharmonian di peringkat akar umbi menjadi tunjang kepada kekuatan negeri.

“Bila masyarakat kita sudah hidup harmoni, aman, damai dan makmur, insya-Allah semua itu akan dapat diterjemahkan kepada sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah secara kolektif melalui kerjasama, kesepaduan dan perpaduan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata KMJG 2026 turut menjadi platform untuk menyemarakkan patriotisme menerusi pelbagai pengisian yang dekat dengan masyarakat, termasuk pemeriksaan kesihatan, penyertaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), pertandingan melukis dan Jualan Rahmah.


“Saya berharap KMJG 2026 akan terus menjadi pemangkin kepada penyatuan rakyat serta menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Malaysia dan Hari Sabah di seluruh negara, khususnya di negeri Sabah,” tambahnya.


Beliau turut menyeru masyarakat supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di rumah, taman perumahan serta kampung sebagai tanda kecintaan kepada negara dan negeri.