TAWAU: Seorang pengawal keselamatan sebuah kolej di sini direman empat hari selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang penuntut perempuan berusia 16 tahun di sebuah blok bangunan institusi pengajian itu, minggu lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 46 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas permohonan dikemukakan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nurul Amira Razali, pada Rabu.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, manakala permohonan reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 petang pada 25 Ogos lalu di sebuah blok bangunan kolej di daerah ini.
Ketika kejadian, mangsa yang juga penuntut kolej berkenaan dipercayai berada di situ untuk memulangkan pakaian milik seorang rakan lelaki.
Suspek yang sedang menjalankan rondaan dipercayai melihat mangsa dan menyangka remaja terbabit sedang berdua-duaan dengan rakannya sebelum dipercayai membawanya ke tingkat atas bangunan berkenaan.
Suspek kemudian dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa tanpa kerelaannya.
Sebahagian kejadian itu dipercayai dilihat oleh kakak mangsa dan seorang lagi saksi yang berada di lokasi.
Mangsa membuat laporan polis pada 1 September lalu sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek di hadapan kolej berkenaan kira-kira jam 8.15 malam pada hari sama.