BEAUFORT: Polis menahan lapan individu dan merampas 650 karton minuman keras pelbagai jenis serta tiga lori dalam operasi khas membanteras kegiatan penyeludupan minuman keras tidak bercukai di daerah ini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, operasi hasil risikan itu dijalankan Wildlife Bureau Crime/Perisikan Siasatan Khas JKDNKA Bukit Aman dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM785,263.50.
“Sindiket ini dipercayai menggunakan laluan tidak diwartakan melalui alur sungai muara dan kawasan tepi pantai sekitar Menumbok serta Kuala Penyu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Operasi berjaya menahan lapan individu selain merampas 650 karton minuman keras pelbagai jenis dan tiga lori yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Champin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Beliau berkata, IPD Beaufort akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan penyeludupan barangan kontraban yang boleh menyebabkan ketirisan hasil negara.
“Bagi tempoh 2025 hingga September 2026, sebanyak 16 kes direkodkan dengan 22 tangkapan dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah kira-kira RM1.43 juta.
“PDRM tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan,” katanya.
Menurutnya, tindakan berkenaan penting bagi mengekang ketirisan hasil negara selain memastikan keselamatan perairan dan sempadan negara terus terpelihara.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah rentas sempadan diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau melalui saluran rasmi PDRM.