140 PATI warga Filipina ditahan dalam operasi JIM Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 140 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kira-kira 15 operasi penguatkuasaan di beberapa daerah di negeri ini, sejak 22 hingga 25 September lalu.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof, berkata jumlah itu membabitkan 40 lelaki, 40 wanita, 38 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan di beberapa lokasi strategik di Kota Kinabalu, Tawau, Semporna, Kudat dan Ranau.

“Secara keseluruhan, JIM Sabah memeriksa 322 individu dalam operasi berkenaan dan menahan 156 PATI.

“Selain warga Filipina, mereka yang ditahan turut membabitkan 11 warga Indonesia iaitu empat lelaki, tiga wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan serta lima lelaki warga Pakistan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.

Katanya, tindakan itu juga bagi membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan menerusi saluran rasmi JIM Sabah melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO),” katanya.