Lelaki warga asing ditahan bersama 51.46 gram syabu

BELURAN: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu seberat 51.46 gram di tepi Jalan Ladang Yayasan Sugut Sdn Bhd, Paitan, awal pagi Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, suspek berusia kira-kira 42 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran pada jam 2.10 pagi.

Menurutnya, suspek ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap beg silang yang dipakai suspek menemukan satu bungkusan plastik berisi bahan hablur disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 51.46 gram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasan berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan di Balai Polis Beluran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Hasan juga menegaskan bahawa kegiatan memiliki, mengedar dan menyalahgunakan dadah adalah kesalahan serius di sisi undang-undang.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi membantu polis membanteras jenayah berkenaan.