KOTA KINABALU : Penggunaan teknologi moden termasuk kamera berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan peralatan pemantauan prestasi mampu meningkatkan keberkesanan latihan serta pembangunan bakat muda bola sepak Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, YB Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun berkata, penggunaan teknologi dalam sukan membolehkan jurulatih menilai prestasi pemain dengan lebih tepat, mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki dan merancang latihan yang lebih berkesan.
“Penerapan sains sukan bersama teknologi moden dapat membantu pemain memahami perkembangan prestasi masing-masing, sekali gus meningkatkan kualiti latihan dan keupayaan mereka untuk bersaing pada tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Coca-Cola: Bina Juara di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.
Katanya, kemajuan teknologi dalam sukan juga perlu dimanfaatkan oleh pemain di peringkat akar umbi, termasuk di kawasan luar bandar, supaya lebih ramai bakat muda mendapat akses kepada latihan dan bimbingan berkualiti.
Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran jurulatih agar penggunaan teknologi dapat diterjemahkan kepada kaedah latihan yang lebih berkesan.
“Kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, persatuan sukan dan komuniti penting bagi memastikan pembangunan teknologi sukan memberi manfaat berterusan kepada pemain muda Sabah,” kata beliau.

Oleh yang demikian, Masidi berharap penggunaan teknologi dan pendekatan latihan berasaskan sains dapat membantu anak muda Sabah mengembangkan potensi mereka serta menyumbang kepada kemajuan bola sepak negeri.