Pajakan tanah sumbang kepada unjuran RM25 juta SEDCO – Masiung

KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) mengunjurkan pulangan RM25 juta kepada Kerajaan Negeri tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Masiung Banah berkata, unjuran itu merangkumi bayaran dividen, bayaran pinjaman serta sumbangan langsung kepada Kerajaan Negeri, susulan prestasi kewangan yang lebih baik termasuk penyelesaian tunggakan pajakan tanah oleh PETRONAS.

“SEDCO mengunjurkan pulangan RM25 juta kepada Kerajaan Negeri tahun ini berbanding RM10 juta pada 2025, didorong antaranya oleh hasil pajakan tanah kepada PETRONAS.

“Dengan nilai keseluruhan pajakan melebihi RM200 juta bagi tempoh 30 tahun, perjanjian ini akan memperkukuh sumber pendapatan berulang SEDCO serta menyumbang kepada kedudukan kewangan yang lebih stabil untuk jangka panjang.

“Kedudukan kewangan yang positif ini juga akan memperkukuh keupayaan SEDCO melaksanakan mandat pembangunan utamanya, iaitu menjana pulangan komersial yang boleh dilaburkan semula bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah yang lebih mampan,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pemeteraian Perjanjian Pajakan Tanah bagi Projek Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) dan Sabah Sarawak Gas Pipeline (SSGP) antara SEDCO dan PETRONAS di sini, pada Rabu.

Masiung berkata, perjanjian itu melibatkan kawasan seluas 32.5 hektar bagi operasi SOGT di Kimanis serta jajaran sepanjang 91 kilometer meliputi kawasan tanah seluas 260 hektar bagi SSGP untuk penyaluran gas dari Kimanis ke Sipitang.

“Perjanjian ini bukan sahaja memberi kepastian kepada operasi kedua-dua kemudahan tenaga strategik berkenaan, malah membuktikan bagaimana aset tanah milik negeri dapat dimanfaatkan untuk menjana pulangan ekonomi yang mampan.

“Ia juga menyediakan asas lebih kukuh kepada PETRONAS untuk merancang pembangunan sektor tenaga bagi jangka panjang, khususnya di sepanjang koridor ekonomi Kimanis–Sipitang,” jelas Masiung.

Menurutnya, perkembangan positif itu turut membolehkan SEDCO memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan strategik termasuk Kudat Blue Economy Industrial Park (KBEIP), selain meneroka peluang pelaburan baharu yang mampu mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan nilai tambah ekonomi negeri.

Beliau berkata, SEDCO juga komited memperluas manfaat prestasi komersialnya kepada usahawan tempatan menerusi program peningkatan kapasiti RISE dan tabung pembangunan S-SEED.

“SEDCO memperuntukkan 10 peratus daripada keuntungan bersihnya kepada tabung S-SEED bagi menyokong usahawan Bumiputera melalui geran padanan, pembiayaan mudah dan pelaburan strategik.

“Inisiatif ini bertujuan membantu usahawan Sabah mengembangkan perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan serta memberikan sumbangan bermakna kepada pembangunan ekonomi negeri,” tambahnya.

Kerjasama antara SEDCO dengan PETRONAS dalam pembangunan infrastruktur minyak dan gas bermula sejak 1997, merangkumi beberapa projek utama termasuk Gayang–Sepangar Gas Pipeline, Sipitang Lateral Gas Pipeline dan Dalak Gas Pipeline.

Hadir sama wakil Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong, Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hidrokarbon Bersepadu, Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), PETRONAS, Ziaril Faiz Zakaria serta Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong Kein Peng.