KUALA LUMPUR: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) meraih enam pengiktirafan dalam IGNITE 2026 Project Management Awards, sekali gus mengetengahkan keupayaan tenaga kerjanya dalam pengurusan projek strategik dan inovasi industri tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, pencapaian itu mencerminkan kepentingan kepakaran teknikal, pendigitalan dan kepimpinan projek dalam memastikan pelaksanaan inisiatif syarikat memberi nilai kepada organisasi serta pelanggan.
“Pencapaian ini memperlihatkan bagaimana gabungan kepakaran kejuruteraan, keupayaan digital dan kepimpinan projek memainkan peranan penting dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan berkesan serta memberikan nilai tambah kepada operasi syarikat,” katanya dalam kenyataan media.
Antara pengiktirafan diraih ialah kemenangan Ir. Dayang Sitti Noradzlin Yunos dalam kategori Best Project Manager (Non PMIMY Member), manakala Ir. Ts. Suadi Wahab menerima Honourable Mention bagi kategori Best Project Manager (PMIMY Member).
Sabah Electricity turut memenangi kategori Outstanding Project (Construction / Infrastructure) menerusi Projek Capacitor Bank 132kV di PMU Tawau dan kategori Best Digital & AI menerusi Major Project Division Digitalization Project.
Selain itu, Projek PPU Benoni 33/11kV, Papar menerima Honourable Mention dalam kategori Engineering & Technology, manakala syarikat turut melayakkan diri ke peringkat akhir kategori Best Project of the Year (Excellence Award).
Menurut Mohd Yaakob, pencapaian itu turut mengukuhkan kepentingan pembangunan modal insan, penguasaan ilmu profesional dan pengalaman praktikal dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu mengurus projek kompleks.
Katanya, Sabah Electricity akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan kompetensi, perkongsian ilmu, pengukuhan kepimpinan dan penerapan budaya inovasi bagi membina pasukan yang mampu mendepani cabaran teknologi serta keperluan sistem bekalan elektrik yang semakin kompleks.
Sabah Electricity turut mencatat kejayaan dalam Project Management Awards 2025 apabila projek Battery Energy Storage System (BESS) di Lahad Datu meraih tiga pengiktirafan, iaitu Best Project Manager, Green Initiative Winner dan Best Project of the Year – Excellent Award.
“Usaha ini juga penting bagi menyokong peningkatan kebolehpercayaan bekalan elektrik serta mutu perkhidmatan kepada pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” tambah beliau.