Motosikal Yamaha, Petrol cuba diseludup ke negara jiran

LAHAD DATU: Sebuah motosikal jenis Yamaha dipercayai cuba diseludup ke negara jiran bersama 240 liter petrol sebelum kegiatan itu dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Felda Sahabat, Tungku, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, suspek yang menyedari kehadiran bot ronda penguat kuasa bertindak memecut laju ke arah pesisir pantai sebelum melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

Pengarah Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, operasi bersepadu menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0 itu dijalankan berdasarkan maklumat risikan.

Menurutnya, pasukan operasi mengesan sebuah bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.35 batu nautika barat daya Kampung Sinakut Tengah.

“Ketika bot ronda penguat kuasa menghampiri untuk pemeriksaan, suspek bertindak memecut laju ke arah pesisir pantai sebelum meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot yang ditinggalkan itu menemukan 12 gelen berisi petrol dengan anggaran keseluruhan 240 liter serta sebuah motosikal jenis Yamaha,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM50,000 dan semua barangan itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran secara tidak sah.

Katanya, bot bersama semua barang rampasan dibawa ke Pangkalan Maritim Felda Sahabat untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

“Maritim Malaysia menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan rondaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan,” katanya