Zul Hadi dilantik Setiausaha Persekutuan Sabah berkuat kuasa 16 Oktober

KOTA KINABALU: Pegawai kanan kerajaan, Datuk Zul Hadi Ahmad dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah di Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa 16 Oktober ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan itu diyakini mampu memperkukuh penyelarasan pentadbiran serta pelaksanaan dasar dan projek pembangunan Persekutuan di Sabah.

Beliau berkata, Zul Hadi, 57, mempunyai pengalaman luas selama 32 tahun dalam bidang ekonomi, kewangan serta dasar dan perancangan strategik.

“ Saya percaya pengalaman, kepakaran dan kepimpinan beliau akan menjadi kekuatan dalam menggalas amanah sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zul Hadi sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian di Bahagian Pertanian, Sektoral, Perancangan Pembangunan Sosioekonomi, Kementerian Ekonomi.

Beliau turut mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai Ketua Unit di Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat, Perbendaharaan Malaysia, selain pernah bertugas di Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Dari segi akademik, beliau memiliki kelulusan Sarjana Sains Perakaunan Kewangan dari Westminister College Oxford, United Kingdom.

Shamsul Azri berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu terus diperkukuh bagi mempercepat penyelesaian isu pelaksanaan serta mengurangkan jurang penyelarasan antara agensi.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan pelaksanaan dasar dan projek pembangunan berjalan lancar, selain memastikan keperluan serta kepentingan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan.

Pelantikan berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada pengukuhan koordinasi antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri, khususnya dalam memastikan dasar serta projek pembangunan dilaksanakan dengan lebih berkesan di Sabah.