KOTA KINABALU: Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNS) Peringkat Negeri Sabah yang bakal diadakan di Tenom pada 23 hingga 25 Oktober ini dirancang untuk melibatkan semua peringkat umur, daripada kanak-kanak tabika hingga golongan veteran berusia 60 tahun ke atas.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata pelbagai aktiviti disediakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai peranan industri pertanian, perikanan dan penternakan dalam memacu ekonomi negara.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Kita Cerita RTM Sabah sempena sambutan HPPNS Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.
“Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan ini akan melibatkan semua peringkat umur, daripada kanak-kanak tabika sehinggalah golongan veteran berusia 60 tahun ke atas.
“Pelbagai aktiviti disediakan untuk semua memahami bahawa industri pertanian, perikanan dan ternakan ini merupakan industri yang memacu ekonomi negara,” katanya.
Tenom dipilih sebagai lokasi sambutan tahun ini berdasarkan laporan dan statistik pengeluaran pertanian yang menunjukkan daerah itu antara pengeluar utama buah-buahan dan hasil pertanian di Sabah.
Jamawi berkata Tenom mengeluarkan kira-kira 20 kontena buah pamelo setiap minggu, selain mencatatkan pengeluaran avokado yang tinggi.
Katanya, pisang Sabah dari Tenom juga mencatatkan pengeluaran kira-kira lima kontena seminggu, manakala kopi turut menjadi antara hasil pertanian daerah berkenaan.
Beliau berkata produk pertanian berkualiti dari Tenom wajar dijadikan contoh oleh petani lain di Sabah dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negeri.
Jamawi berkata sambutan itu turut menyaksikan pengiktirafan kepada 50 individu yang terdiri daripada peladang, penternak, nelayan, peneroka getah dan pengusaha makanan sepenuh masa.
Selain itu, jentera moden termasuk traktor, mesin penanam dan mesin penuai padi akan diberikan kepada pengusaha yang terbukti mampu menghasilkan kira-kira lapan tan padi sehektar.
“Purata hasil padi di Sabah hanya lebih kurang lima tan sehektar. Tetapi di Tenom, khususnya di Kampung Kali Batang dan Kampung Merais, petani boleh menghasilkan lapan tan sehektar.
“Kita berikan insentif dan jentera moden supaya mereka dapat terus mengeluarkan hasil yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sambutan kali ini turut mengiktiraf 10 nelayan darat yang menangkap ikan di sungai menerusi pemberian peralatan menangkap ikan termasuk bot dan enjin sangkut.
Menurutnya, pengiktirafan itu diberikan kerana nelayan darat sekian lama belum menerima perhatian seumpama nelayan laut.
Sambutan berkenaan turut menghidupkan semula Pesta Kopi yang kali terakhir diadakan pada 2015, dengan sasaran mencatatkan rekod Malaysia Book of Records menerusi aktiviti tarik kopi secara serentak melibatkan kira-kira 2,000 peserta.
Jamawi berkata acara itu turut menyediakan kira-kira 200 gerai pameran dan 100 gerai jualan produk pertanian.
Satu lagi tarikan ialah Agro Seafood Festival yang menampilkan deretan gerai sepanjang kira-kira 200 kaki untuk menjual hasil laut dan perikanan pada harga berpatutan.
Pelbagai aktiviti lain turut disediakan di Dewan Masyarakat Tenom, termasuk pertandingan melukis untuk kanak-kanak tabika, aktiviti berbasikal dan acara sukan, selain Pesta Kilauan Emas pada malam 23 haribulan untuk peserta berusia kira-kira 55 tahun ke atas.
Sementara itu, Jamawi berkata perkhidmatan kereta api ekspres khas akan disediakan pada 23, 24 dan 25 Oktober bagi memudahkan orang ramai menghadiri sambutan berkenaan di Tenom.
Katanya, perkhidmatan yang dipersetujui Jabatan Keretapi Negeri Sabah itu hanya akan berhenti di Papar dan Beaufort, berbanding perkhidmatan biasa yang berhenti di hampir 20 lokasi antara Tanjung Aru dan Tenom.
“Dengan perkhidmatan ini, perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tenom mengambil masa kira-kira empat jam. Harga tiket pergi balik lebih kurang RM15,” katanya.
Beliau berkata perjalanan pergi dijadualkan berlepas dari Tanjung Aru pada 7.30 pagi dan tiba di Tenom pada 10 pagi, manakala perjalanan pulang berlepas dari Tenom pada 3 petang dan tiba di Tanjung Aru pada 7 malam.
Menurutnya, kemudahan itu membolehkan pengunjung menikmati sambutan, membeli produk pertanian serta membawa keluarga menaiki kereta api tanpa perlu memandu jauh.
Bagaimanapun, kapasiti perkhidmatan itu dihadkan kepada 180 penumpang sehari.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap, Maria David Edick dan Pengarah Penyiaran Sabah (RTM Sabah), Mohd Yusni Mohamed Ali.