Daripada RM50 juta kepada RM161 juta, pembangkang jangan manipulasi fakta BKNS – Azrul

KOTA KINABALU: Pihak pembangkang diingatkan supaya tidak memanipulasi fakta dan angka berkaitan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) sehingga menimbulkan persepsi mengelirukan dalam kalangan masyarakat.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, berkata perbahasan mengenai isu pendidikan, khususnya peluang mendapatkan biasiswa, perlu berasaskan fakta dan bukannya tuduhan yang boleh mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, perbandingan peruntukan BKNS antara 2019 dan 2026 menunjukkan peningkatan ketara apabila kerajaan negeri menaikkan peruntukan daripada RM50 juta kepada RM161 juta.

Katanya, peningkatan itu turut menyaksikan jumlah penerima tajaan baharu bertambah daripada hanya 673 pelajar pada 2019 kepada 5,159 pelajar tahun ini.

“Jumlah keseluruhan pelajar tajaan yang masih aktif kini mencecah 16,207 orang.

“Kita tidak menafikan masih terdapat pelajar yang belum berjaya mendapat biasiswa, namun perkara ini akan terus diberikan perhatian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azrul berkata, kerajaan negeri komited menambah baik serta meningkatkan peruntukan pendidikan pada tahun-tahun akan datang, selaras dengan pertambahan hasil negeri dan kemampuan kewangan kerajaan.

Menurutnya, selain BKNS, pelajar Sabah turut mempunyai peluang mendapatkan bantuan pendidikan secara sekali bayar menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), inisiatif diperkenalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Katanya, bantuan berkenaan menjadi antara usaha kerajaan negeri membantu lebih ramai anak Sabah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau berkata, perbezaan pandangan dan teguran terhadap dasar kerajaan adalah perkara biasa, namun isu pendidikan tidak seharusnya dijadikan gelanggang persepsi politik.

“Pendidikan anak Sabah bukan gelanggang persepsi politik. Ia adalah tanggungjawab bersama dan pelaburan untuk masa depan negeri kita.

“Kerajaan negeri teraju Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memperlihatkan momentum positif dalam usaha memperluas akses pendidikan anak-anak Sabah,” katanya.