SEMPORNA: Kerajaan Sabah menyelaraskan urusan penghantaran pulang tiga jenazah lelaki yang maut akibat disambar petir di Sepang, Selangor, sehingga selamat dikebumikan di kampung halaman mereka di Pulau Bum-Bum, malam ini.
Ketiga-tiga jenazah selamat tiba di Kampung Hampalan, Pulau Bum-Bum, kira-kira jam 7.50 malam sebelum disemadikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan kampung berkenaan pada jam 8.40 malam.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sulabayan, Mohd Akram Abd Rauf berkata, pihaknya menerusi Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sulabayan menguruskan perjalanan jenazah bermula dari Lapangan Terbang Tawau sehingga ke lokasi pengebumian.
Beliau berkata, sebanyak tiga van jenazah digunakan bagi membawa ketiga-tiga jenazah dari lapangan terbang ke Jeti Semporna, sebelum perjalanan diteruskan menggunakan tiga bot ke Kampung Hampalan.
“Ketiga-tiga jenazah tiba di Lapangan Terbang Tawau kira-kira jam 5.40 petang sebelum perjalanan menggunakan van jenazah bermula pada jam 6 petang.

“Rombongan tiba di Jeti Semporna pada jam 7.20 malam dan bergerak ke Kampung Hampalan, Pulau Bum-Bum menggunakan tiga bot pada jam 7.30 malam,” katanya.
Menurutnya, keseluruhan urusan perjalanan dari lapangan terbang sehingga pengebumian mengambil masa kira-kira tiga jam sebelum ketiga-tiga jenazah selamat disemadikan.
Katanya, penyelarasan pengangkutan darat dan laut itu dilaksanakan bagi memastikan urusan membawa pulang jenazah ke pangkuan keluarga berjalan lancar, sekali gus membolehkan mereka dikebumikan di kampung halaman.
Terdahulu, tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Sahrif, 26, adiknya, Mohamad Ahzam Marusin, 16, serta sepupu mereka, Mohammad Safwan Aksan, 18.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang di Sepang, Selangor, ketiga-tiga mangsa dipercayai berteduh di bawah pokok selepas selesai membaiki sebuah kenderaan sebelum disambar petir ketika hujan lebat.
Mereka disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang untuk tindakan lanjut.