120 delegasi Sabah teroka peluang kerjasama di Guangzhou

KOTA KINABALU: Seramai kira-kira 120 wakil delegasi Dewan Perdagangan Malaysia–China (MCCC) Sabah yang terdiri dari ahli perniagaan menyertai misi ke Guangzhou, China bagi meneroka peluang kerjasama perusahaan negara itu, khususnya dalam sektor pertanian, perikanan dan industri makanan.

Delegasi berkenaan diketuai bersama Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau, dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, yang tiba di sini, semalam bagi memulakan lawatan selama empat hari.

Dexter berkata, penyertaan kira-kira 120 wakil perniagaan itu menjadikan misi berkenaan antara delegasi perniagaan terbesar dalam sejarah Sabah, sekali gus mencerminkan minat komuniti perniagaan negeri ini untuk memperluas hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi dengan China.

“Kami datang ke sini terutamanya untuk mempelajari pengalaman China dalam pembangunan pertanian serta meneroka peluang kerjasama.

“Kami berharap dapat menggabungkan kelebihan sedia ada Sabah dengan keupayaan perusahaan China untuk bersama-sama memajukan sektor pertanian,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Menurutnya, lawatan itu memberi tumpuan kepada usaha meninjau model pembangunan pertanian China serta teknologi canggih yang boleh diteroka untuk manfaat pembangunan sektor berkenaan di Sabah.

Beliau berkata, menerusi kerjasama dengan Jamawi, delegasi itu turut berhasrat meneroka kaedah menggabungkan kekuatan modal, infrastruktur dan sumber pertanian Sabah dengan kepakaran perusahaan China bagi membangunkan sektor berkenaan serta memperluas peluang perniagaan bersama.

Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira 400 usahawan dan pemain industri dari China dijangka menyertai sesi pertukaran dalam tempoh dua hari akan datang, selain wakil daripada kira-kira 20 dewan perniagaan dan organisasi perniagaan negara itu yang dijangka mengadakan pertemuan bagi meneroka potensi kerjasama.

Selain pertanian, delegasi Sabah turut memperkenalkan potensi pembangunan negeri dalam sektor pelancongan dan industri lain bagi memberi gambaran lebih menyeluruh kepada pelabur China mengenai persekitaran pelaburan serta peluang perniagaan di Sabah.