GUANGZHOU, CHINA: Penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan mekanisasi dalam sektor pertanian mampu meningkatkan produktiviti serta menarik lebih ramai golongan muda di Sabah untuk menceburi industri berkenaan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, lawatan delegasi Sabah Guangzhou menjadi peluang penting untuk meneroka kerjasama dengan pihak industri negara itu, khususnya dalam membawa masuk teknologi canggih dan sumber pelaburan bagi meningkatkan daya saing sektor agro-makanan negeri.
Menurutnya, delegasi berkenaan bukan sahaja mahu meneroka peluang perniagaan, malah turut berhasrat memahami penggunaan AI dan mekanisasi dalam pertanian, termasuk bagaimana teknologi berkenaan dapat meningkatkan produktiviti serta mempercepat transformasi industri.
“Pengenalan kecerdasan buatan dan mekanisasi dapat membantu meningkatkan produktiviti pertanian, selain menjadikan industri ini lebih menarik kepada golongan muda untuk terlibat secara aktif dalam bidang pertanian dan aktiviti perniagaan berkaitan,” katanya ketika ditemui media, di sini.
Beliau berkata, sektor pertanian Sabah sejak sekian lama banyak diterajui golongan berusia, manakala minat golongan muda untuk menceburi bidang itu masih agak rendah.
Sehubungan itu, katanya, penerapan inovasi teknologi dan kaedah pengeluaran moden penting bagi mengubah amalan pertanian tradisional serta menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan muda.

Jamawi turut memaklumkan bahawa kebanyakan wakil perniagaan Sabah yang menyertai delegasi berkenaan berusia di bawah 50 tahun, sekali gus mencerminkan peranan golongan usahawan muda dalam membentuk hala tuju pembangunan perniagaan dan pertanian negeri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-China (MCCC) Sabah, khususnya presidennya, Datuk Dexter Lau serta semua wakil yang terlibat dalam menjayakan program pertukaran berkenaan.
“Saya berharap lawatan ini dapat memberikan manfaat kepada komuniti perniagaan dan industri agro-makanan Sabah, selain memperkukuh kerjasama Malaysia-China dalam bidang pertanian, perikanan dan industri makanan,” ujarnya.
Beliau yakin kerjasama antara kerajaan, komuniti perniagaan dan pemain industri, dengan sokongan inovasi teknologi serta kerjasama rentas sempadan, mampu mempercepat pemodenan sektor pertanian dan memperkukuh asas keselamatan makanan serta pembangunan ekonomi Sabah pada masa hadapan.