KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak (MKHMM) bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan minyak masak sawit tulen kemasan botol, sekali gus mengelakkan kenaikan harga yang boleh membebankan pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, menerusi mekanisme itu, harga siling minyak masak sawit tulen kemasan botol dikekalkan pada RM6.90 bagi satu kilogram (kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg).
“Mengambil kira harga purata CPO dunia pada Oktober 2026 sebanyak RM4,400 satu tan, harga minyak masak botol 5kg dianggarkan akan meningkat kepada RM34.00 sekiranya langkah intervensi ini tidak dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Armizan berkata, mekanisme itu diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 November lalu bagi membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengekalkan harga siling minyak masak botol menerusi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira trend peningkatan harga Minyak Sawit Mentah (CPO) dunia sejak Jun 2025 yang dijangka berterusan, sekali gus meningkatkan tekanan kos kepada industri pengilangan.
“Tekanan kos itu menyebabkan terdapat syarikat yang menghentikan pengeluaran kerana kesukaran mematuhi harga siling yang ditetapkan.
“Pelaksanaan MKHMM turut bertujuan mengekang gangguan bekalan dan pergerakan harga minyak masak botol yang boleh membebankan rakyat,” jelasnya.
Tambah beliau, langkah intervensi itu melibatkan implikasi kewangan dengan anggaran RM15 juta sebulan dalam bentuk insentif khas bagi memastikan pembekalan minyak masak kemasan botol mematuhi harga siling.
Armizan menegaskan tindakan itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk menangani kesan perubahan harga bekalan global, sebagaimana pertambahan subsidi yang diperuntukkan bagi bahan api petrol RON95 dan diesel.