KOTA BELUD: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika menyeberangi sungai di Kampung Lebak Engad, di sini, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian MERS 999 pada jam 1.18 petang.
Katanya, seramai 14 anggota bersama tiga kenderaan operasi dari BBP Kota Belud digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 1.33 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat awal daripada pengadu dan penduduk kampung bagi menilai situasi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan.
“Operasi pencarian awal dijalankan menggunakan kaedah Surface Rescue dengan menelusuri tebing sungai sejauh kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Marudu yang dianggotai lima anggota tiba di lokasi pada jam 4.30 petang bagi membantu operasi.
“Pasukan PPDA kemudian melakukan selaman pertama di kawasan mangsa kali terakhir dilihat dengan radius pencarian diperluaskan sehingga 500 meter,” katanya.
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Wan Niezam, 25, bagaimanapun masih belum ditemui.
“Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada jam 6.30 petang berikutan keadaan gelap dan akan disambung semula.
“Setakat operasi ditangguhkan, mangsa masih belum ditemui dan pihak bomba akan mengemas kini perkembangan operasi dari semasa ke semasa,” katanya.
