PAPAR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengesahkan tiada unsur jenayah atau buli dikenal pasti dalam insiden membabitkan seorang murid yang terjatuh di kawasan sebuah sekolah di daerah ini baru-baru ini.
JPN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak sekolah bertindak segera sebaik kejadian berlaku dengan memberikan bantuan awal kepada mangsa, memaklumkan kejadian kepada keluarga dan pihak polis serta mengawal kawasan kejadian bagi mengelakkan suasana panik.
Menurutnya, mangsa turut dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Berdasarkan laporan perubatan, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan kini berada dalam keadaan stabil.
“Kebajikan, keselamatan serta kesejahteraan emosi mangsa terus diberi perhatian melalui pemantauan berterusan, termasuk penyediaan sokongan psikososial dan emosi kepada mangsa serta warga sekolah yang terkesan,” katanya.
JPN Sabah turut memaklumkan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh mengganggu proses siasatan selain menjejaskan kesejahteraan mangsa, keluarga dan seluruh warga sekolah.