SANDAKAN: Kegembiraan dua kanak-kanak mandi di sebuah kolam terbiar di Jalan Sungai Manila di sini berakhir tragedi apabila kedua-duanya ditemukan lemas, petang isnin.
Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Ikmal, 9, manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun masih belum dikenal pasti identitinya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.01 petang sebelum sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera CFRT dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.36 petang dan mendapati kedua-dua mangsa sudah berjaya dibawa keluar oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.
“Pemeriksaan oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, pada isnin.
Menurutnya, anggota bomba kemudian membantu mengangkat dan membawa mangsa ke lokasi yang selamat sebelum diserahkan kepada KKM dan seterusnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Katanya, selepas memastikan tiada lagi sebarang bahaya di kawasan kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.08 malam.
“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.