Maal Hijrah Wadah Perbaiki Diri, Tingkatkan Syiar Islam – Matbali

SIPITANG : Sambutan Maal Hijrah menjadi wadah memperbaiki diri dan mampu meningkatkan syiar Islam. 


Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, program itu mampu mempromosi budaya Islam dan meningkatkan syiar Islam di samping memperbaiki diri. 


“Sambutan ini menjadi wadah memperbaiki diri dan mampu meningkatkan syiar Islam serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat. 


“Selain itu, ia juga mampu meningkatkan nilai kebersamaan dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat khususnya seperti program pada hari ini. 


“Dengan adanya penglibatan pengerusi-pengerusi masjid dan surau ianya dapat membantu dalam memastikan daerah ini terus cemerlang dan meningkatkan prestasi masjid dan surau sebagai wadah penyatuan ummah. 

“Program ini juga untuk mengingatkan kita perjuangan Nabi Muhammad SAW dan ianya sebagai pengajaran dan memastikan peristiwa yang ada dalam kisah hijrah Nabi Muhammad SAW sebagai teladan dan pedoman untuk kita,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Maal Hijrah Peringkat Daerah Sipitang yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Sipitang, pada Jumaat.

Matbali (tengah) menerima cendera kenangan Abd Karim (dua dari kanan). 

Matbali berharap masyarakat setempat dapat mengambil iktibar dan merubah diri ke arah lebih baik. 


Beliau berkata, generasi muda seperti belia khususnya disarankan sentiasa muhasabah diri dan mengamalkan akhlak yang lebih baik kerana dengan peredaran zaman kini gejala sosial semakin meruncing dan ianya perlu dikekang agar tidak berlaku. 

Turut hadir, Pegawai Daerah, Abd Karim A M Zahari, Ketua Polis Daerah IPD Sipitang, Supritendan Awang Anak Suanda, Pegawai Pembangunan Masyarakat, Mohd Rafie Isa, Ketua Daerah Sipitang, OKK Daud Kasim.