KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menyumbang insentif khas sebanyak RM10,000 kepada atlet angkat berat negeri, Irene Jane Henry, sebagai penghargaan atas kejayaannya meraih pingat gangsa pada temasya Sukan Komanwel.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, insentif itu melengkapkan ganjaran RM20,000 yang diterima atlet berkenaan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa menghargai atlet Sabah yang mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.
“Sudah semestinya atlet-atlet yang mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa sama ada memenangi pingat emas, perak atau gangsa akan menerima insentif daripada Kerajaan Sabah.
“Difahamkan Irene akan menerima RM20,000 daripada Majlis Sukan Negara, manakala Kerajaan Sabah akan menambah RM10,000 lagi. Ini bermakna beliau akan menerima keseluruhan RM30,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyambut kepulangan atlet angkat berat Sabah itu di Lapangan Antarabangsa, di sini, pada Isnini.
Mengulas lanjut, Nizam berkata kejayaan Irene bukan hanya hasil latihan dan komitmen tinggi atlet itu sendiri, malah turut didorong oleh sokongan padu daripada keluarga serta pelbagai agensi sukan termasuk Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta MSN Sabah.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Irene dan juga kepada seluruh keluarganya.
“Kejayaan ini bukan sahaja hasil latihan beliau yang begitu gigih, tetapi juga hasil sokongan daripada kedua-dua ibu bapa, keluarga serta agensi-agensi sukan yang sentiasa membantu perkembangan atlet,” jelasnya.
Tambah beliau, Irene juga difahamkan akan melanjutkan pengajian ke Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus membuktikan kecemerlangan akademik dan sukan mampu digalas secara seiring.
Nizam berkata, sekiranya lebih ramai ibu bapa di Sabah memberi sokongan seperti yang ditunjukkan keluarga Irene, negeri ini berpotensi melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.
“Saya yakin jika mentaliti dan sokongan keluarga seperti ini dapat dicontohi oleh masyarakat di Sabah, kita bukan sahaja mampu melahirkan juara di peringkat negeri dan kebangsaan, malah atlet yang mampu bersaing di pentas dunia,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan Irene meraih pingat gangsa dalam acara angkat berat kategori 48 kilogram di Sukan Komanwel turut mencipta sejarah apabila menamatkan penantian 16 tahun pingat wanita Malaysia dalam sukan angkat berat di temasya berkenaan.
Terdahulu, Irene Jane Henry telah mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat gangsa dalam acara sukan angkat berat kategori 48 kilogram wanita di Podium Sukan Komanwel Glasgow 2026