BELURAN: Anak-anak di kawasan luar bandar mempunyai potensi sama hebat untuk menjadi saintis, jurutera, penyelidik dan inovator masa hadapan sekiranya diberikan peluang, pendedahan serta bimbingan yang sewajarnya.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, bakat, kreativiti dan cita-cita anak-anak luar bandar perlu dicungkil serta dibangunkan menerusi sokongan berterusan.
“Anak-anak di Beluran, di kawasan luar bandar dan di kawasan pedalaman juga mempunyai potensi yang besar. Mereka mempunyai bakat, kreativiti dan cita-cita.
“Apa yang mereka perlukan ialah peluang, pendedahan, bimbingan serta sokongan yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Program STEAMQuest Ignite 2026 Peringkat Zon Beluran sempena Borneo Festival of Ideas (BFOI) 2026 di Dewan Datuk James Ratib, Kampung Botition, di sini, pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Tuan Justinus Jalang yang mewakili menteri pada majlis berkenaan.
Turut hadir, Ketua Pustakawan UMS yang mewakili Naib Canselor UMS, Tuan Zawawi Datuk Tiyunin; Pegawai Pendidikan Daerah Beluran, Dr Nancy Ng Yut Kuan; Pengarah U-Science UMS, Md Sazali Md Salleh serta pengetua, guru, murid, ibu bapa dan jemputan.
James berkata, STEAMQuest Ignite bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform pembelajaran yang memberi peluang kepada murid meneroka idea baharu, menjalankan eksperimen, menyelesaikan masalah sebenar dan mengaplikasikan ilmu secara praktikal.
Katanya, pendidikan STEAM yang merangkumi Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik penting dalam membentuk generasi yang mampu berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif, selain memiliki kemahiran menyelesaikan masalah serta bekerja dalam pasukan.
“Dalam era yang menyaksikan perkembangan sains dan teknologi berlaku dengan begitu pantas, kita tidak boleh hanya menyediakan generasi muda untuk dunia hari ini.
“Kita perlu menyediakan mereka untuk dunia yang bakal mereka hadapi pada masa hadapan,” ujar beliau.
Menurutnya, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik, teknologi digital dan analitik data semakin mempengaruhi kehidupan, sekali gus memerlukan generasi muda yang bukan sahaja mampu menggunakan teknologi, malah berupaya mencipta dan membangunkan penyelesaian baharu.
James berkata, usaha memperkasakan pendidikan sains, teknologi dan inovasi tidak seharusnya tertumpu di bandar-bandar utama, sebaliknya perlu diperluaskan ke daerah serta kawasan luar bandar di seluruh Sabah.
Katanya, pelaksanaan STEAMQuest Ignite di Zon Beluran membuktikan agenda memperkasa pendidikan sains dan teknologi sedang dibawa lebih dekat kepada sekolah dan komuniti.
“Kita mahu memastikan tiada anak Sabah yang tercicir daripada peluang untuk mendapatkan pendidikan berkualiti serta pendedahan kepada perkembangan sains, teknologi dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata, program seperti STEAMQuest Ignite turut menjadi sebahagian usaha membina ekosistem pendidikan yang mampu mencungkil dan membangunkan bakat muda Sabah.
Tidak mustahil, katanya, peserta program berkenaan pada hari ini akan menjadi saintis, jurutera, penyelidik, pencipta atau usahawan teknologi yang mengharumkan nama Beluran dan Sabah di peringkat kebangsaan serta antarabangsa pada masa hadapan.
Dalam pada itu, James turut memberi penghargaan kepada guru yang memainkan peranan penting dalam membimbing dan mencungkil potensi murid.
Katanya, guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut berperanan sebagai pembimbing, pencetus inspirasi dan pencungkil bakat generasi masa hadapan.
Beliau turut menggesa guru supaya memberikan ruang kepada murid untuk bertanya, mencuba, bereksperimen dan berfikir di luar kebiasaan.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya tidak takut mencuba sesuatu yang baharu atau menganggap kegagalan sebagai pengakhiran.
“Dalam dunia sains dan inovasi, kegagalan merupakan sebahagian daripada proses untuk kita memahami sesuatu, memperbaiki kelemahan dan menghasilkan penyelesaian yang lebih baik,” tambah beliau.
James turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara institusi pendidikan, kerajaan dan komuniti dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang kukuh.
Beliau menghargai peranan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui U-Science dalam membawa ilmu, kepakaran dan pengalaman akademik lebih dekat kepada sekolah serta komuniti.
Katanya, kerjasama berkenaan perlu terus diperkukuh supaya institusi pengajian tinggi bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik, malah rakan strategik dalam pembangunan bakat dan inovasi di Sabah.
Beliau berkata, Borneo Festival of Ideas (BFOI) turut menyediakan platform penting untuk idea, kreativiti dan inovasi diketengahkan kepada masyarakat lebih luas.
“Saya berharap lebih ramai murid dan anak muda Sabah akan berani mengetengahkan idea mereka, berkongsi hasil ciptaan serta melihat inovasi sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah dan memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
James berharap STEAMQuest Ignite 2026 menjadi permulaan kepada lebih banyak program pendidikan STEAM di Beluran dan seluruh Sabah, selain membuka laluan kepada murid untuk berkembang daripada peringkat zon dan daerah ke peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.