27 botol air ketum dirampas, dua lelaki dicekup dalam dua serbuan

RANAU: Sebanyak 27 botol air ketum dirampas manakala dua lelaki tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan di sebuah perkampungan di daerah ini, semalam.

Operasi berkenaan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau hasil risikan berterusan serta maklumat yang disalurkan masyarakat setempat.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, suspek pertama, lelaki tempatan berusia 25 tahun, ditahan kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas 10 botol mineral yang setiap satunya mengandungi kira-kira 1.5 liter air ketum.

“Turut dirampas sebuah kotak polisterina, satu kaki dapur, sebuah tong gas berwarna hijau, sebuah dapur memasak dan sebuah periuk yang dipercayai digunakan untuk proses memasak air ketum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kira-kira 10 minit kemudian, polis menjalankan serbuan kedua di lokasi berasingan sebelum menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 37 tahun.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 17 botol mineral yang setiap satunya mengandungi kira-kira 1.5 liter air ketum.

“Turut dirampas sebuah peti berwarna merah, dua tong gas berwarna hijau, sebuah dapur memasak dan sebuah periuk yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum,” katanya.

Mursalin berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 27 botol air ketum dengan anggaran keseluruhan sebanyak 40.5 liter.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan adalah hasil kerjasama penduduk setempat yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis, selain risikan yang dijalankan secara berterusan.

Katanya, pengambilan dan pemprosesan cecair ketum merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Dalam pada itu, Mursalin menegaskan PDRM melalui IPD Ranau akan terus mempergiatkan operasi dan risikan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di daerah berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Ranau atas kerjasama dan keprihatinan dalam membantu pihak polis membanteras kegiatan jenayah.

Menurutnya, peranan masyarakat sebagai ‘mata dan telinga’ PDRM amat penting kerana maklumat awal yang disalurkan mampu membantu pihak berkuasa mengambil tindakan pencegahan dengan pantas dan berkesan.

“Masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222.

“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.