Rokok seludup RM4.89 juta ‘kantoi’ di Sungai Seguntur

SANDAKAN: Cubaan sindiket menyembunyikan jutaan batang rokok seludup di kawasan paya bakau Sungai Seguntur, di sini, terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu lokasi berkenaan, awal pagi semalam.

Serbuan menerusi Operasi Bersepadu Khas kira-kira jam 1.30 pagi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 45 tahun serta rampasan 3.55 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang keseluruhannya bernilai RM4.89 juta.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi bermula selepas pihaknya menerima maklumat dan menjalankan risikan sebelum menyerbu sebuah jeti tidak berdaftar di tepi Sungai Seguntur.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan 1.82 juta batang rokok tidak bercukai yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

“Turut dirampas sebuah lori bonded tiga tan, sebuah bot laju berukuran 30 x 10 kaki serta tiga unit enjin sangkut Yamaha 200HP.

“Nilai rampasan pertama dianggarkan RM2.564 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat susulan daripada tangkapan dan rampasan pertama, pasukan operasi kemudian bergerak mengesan sebuah lagi bot laju yang dipercayai disembunyikan di celah pokok bakau di Sungai Seguntur.

Katanya, pemeriksaan menemukan bot berkenaan bersama tiga unit enjin sangkut Yamaha 200HP dan muatan 1.73 juta batang rokok tidak bercukai.

“Nilai rampasan kedua dianggarkan RM2.326 juta dan bot serta semua barangan rampasan dibawa ke Jeti Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Keseluruhannya, sebanyak 3.55 juta batang rokok tidak bercukai dirampas dengan nilai RM4.89 juta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah turut menyerbu sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Dambai, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu, pada 14 September lalu.

Hasil pemeriksaan menemukan 43,200 tin minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai kira-kira RM478,506.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kontraban dalam tiga serbuan pada 14 dan 15 September lalu bernilai RM5,368,506,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga 15 September tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 61 kes di bawah Akta Kastam 1967 dengan nilai rampasan keseluruhan RM8,386,812.61 serta 40 tangkapan.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan, memperkukuh perkongsian maklumat dan meningkatkan kerjasama antara agensi bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta pengedaran barangan tidak bercukai.

“Kejayaan ini membuktikan keberkesanan perkongsian risikan dan kerjasama strategik antara PPM Wilayah 4 Sabah dan SPRM dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan,” katanya.