62.14 gram syabu dirampas, dua lelaki ditahan di Penampang

PENAMPANG: Cubaan dua lelaki menyimpan dadah membawa padah apabila polis merampas 62.14 gram syabu bernilai RM9,400 dalam dua operasi berasingan di daerah ini, Jumaat lalu.

Lebih mengejutkan, seorang daripada suspek yang ditahan adalah lelaki warga asing berusia 33 tahun yang didapati positif methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, dalam operasi pertama kira-kira jam 2.50 petang, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) menahan suspek warga asing berkenaan di kawasan hadapan sebuah rumah.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan 20 paket plastik berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 56.91 gram.

“Dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM8,500 dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi kedua pula dijalankan kira-kira jam 12.10 tengah malam dan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.

“Pemeriksaan mendapati suspek memiliki empat paket plastik berisi bahan disyaki syabu seberat 5.23 gram bernilai RM900.

“Secara keseluruhan, polis merampas 62.14 gram syabu dianggarkan bernilai RM9,400 menerusi kedua-dua operasi berkenaan,” katanya.

Sammy berkata, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kes kedua disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akta sama.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah diminta menyalurkannya kepada polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.