BEAUFORT: Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri buah sawit ditahan polis di Kampung Darat, Menumbok, di sini.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, suspek ditahan anggota Balai Polis Menumbok selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kehilangan buah sawit yang kerap berlaku di sebuah kebun milik pengadu.
Menurutnya, pengadu turut memaklumkan ternampak seorang lelaki tidak dikenali berada di kawasan kebun bersama sebuah kenderaan yang membawa beberapa tandan buah sawit.
“Walaupun ketika itu tiada bukti kukuh untuk mengesahkan buah sawit berkenaan diambil dari kebun milik pengadu, maklumat yang diterima membantu polis menjalankan tindakan susulan.
“Hasil tindakan pantas anggota Balai Polis Menumbok, suspek berjaya dikesan sebelum ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Champin berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil saringan mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya.
Beliau berkata, suspek seterusnya diserahkan kepada BSJND IPD Beaufort untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, tindakan itu menunjukkan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras kegiatan jenayah serta penyalahgunaan dadah, selain memastikan keselamatan masyarakat dan harta benda sentiasa terpelihara.
Kes masih dalam siasatan dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.