Tangkap ikan di kawasan larangan, empat termasuk tiga warga Filipina ditahan

LAHAD DATU: Empat individu termasuk tiga warga Filipina ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas sebuah bot nelayan pukat jerut bilis disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan Kunak, semalam.

Mereka terdiri daripada seorang tekong warga tempatan berusia 42 tahun dan tiga awak-awak warga Filipina berusia antara 21 hingga 41 tahun.

Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot berkenaan ditahan pada kira-kira jam 12.35 tengah hari di kedudukan 0.8 batu nautika timur laut Pulau Burong, Madai, Kunak.

Menurutnya, bot terbabit dikesan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan mengikut syarat lesen.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 42 tahun bersama tiga awak-awak warga Filipina berusia antara 21 hingga 41 tahun.

“Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bot dan kesemua individu terbabit kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Dzulfikhar berkata, Maritim Malaysia turut menegaskan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan pengusaha dan nelayan mematuhi syarat lesen serta peraturan perikanan yang ditetapkan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan 999,” katanya