Empat lelaki terjun laut, dua bot bawa petrol, rokok ditahan

LAHAD DATU: Empat lelaki nekad terjun ke laut sebelum melarikan diri ke daratan ketika dua bot dinaiki mereka dihampiri bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Felda Sahabat, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak menghalang pihak berkuasa menahan kedua-dua bot berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan petrol dan rokok.

Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kedua-dua bot ditahan hasil maklumat risikan menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0 di perairan selatan Tanjung Sinakut.

Menurutnya, bot pertama ditahan pada jam 8.26 pagi, diikuti bot kedua pada jam 9.14 pagi.

“Ketika bot ronda Maritim Malaysia menghampiri kedua-dua bot berkenaan, dua lelaki dewasa dari setiap bot bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke arah daratan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot masing-masing dilengkapi sebuah enjin pam sebagai enjin tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot pertama menemukan 24 tong berisi petrol berkapasiti 25 liter setiap satu, dengan jumlah keseluruhan kira-kira 600 liter.

“Bot kedua pula membawa empat peti rokok tidak bercukai mengandungi kira-kira 40,000 batang rokok jenama Astro.

” Turut ditemukan tujuh tong gas memasak serta 20 tong minyak berkapasiti 25 liter setiap satu yang semuanya kosong,” katanya.

Dzulfikhar berkata, kedua-dua bot dipercayai mempunyai peranan berbeza dalam kegiatan penyeludupan itu.

“Bot pertama yang membawa muatan petrol dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar bekalan itu ke negara jiran.

“Bot kedua yang membawa tong kosong pula dipercayai dalam persediaan untuk mengambil bekalan minyak sebelum diseludup dan dijual ke negara berkenaan,” katanya.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan RM65,700.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala kes membabitkan rokok tidak bercukai turut disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

“Kesemua bot dan barang rampasan dibawa ke Jeti Pos Maritim Felda Sahabat untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya