Lelaki 39 tahun ditahan miliki air ketum dan serbuk ketum

RANAU: Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas disyaki memiliki air ketum dan serbuk ketum dalam satu serbuan di sebuah perkampungan di daerah ini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 6.30 petang itu,
sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menemukan lima botol mineral mengandungi kira-kira 1.5 liter air ketum yang disimpan di dalam sebuah periuk.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, pemeriksaan turut menemukan satu kilogram serbuk ketum yang disimpan dalam paket plastik.

“Turut dirampas sebuah tong gas berwarna hijau dan sebuah dapur memasak yang dipercayai digunakan bagi proses memasak air ketum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Katanya, tangkapan itu dilakukan hasil risikan berterusan serta maklumat yang disalurkan oleh masyarakat setempat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Mursalin turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Ranau atas kerjasama dan keprihatinan dalam membantu polis membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Mursalin berkata, pihak polis akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan berkaitan ketum demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah berkenaan.

“Orang ramai juga diminta terus memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah kepada pihak berkuasa.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.