PBS buka platform baharu untuk golongan muda

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) membuka ruang lebih luas kepada golongan muda berusia 18 hingga 25 tahun untuk terlibat dalam politik menerusi penubuhan Gerakan Belia dan Beliawanis (GBB) di semua bahagian parti itu.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki berkata, inisiatif berkenaan susulan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) terhadap pindaan Perlembagaan PBS yang turut bertujuan memperkukuh organisasi dan menyediakan barisan kepimpinan generasi baharu.

Menurutnya, penubuhan GBB bukan sekadar menambah struktur organisasi parti, sebaliknya merupakan pelaburan penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan PBS pada masa hadapan.

“Ini memberi ruang kepada anak-anak muda kita untuk belajar, menyumbang idea, menimba pengalaman serta memahami perjuangan dan prinsip parti dari peringkat akar umbi.

“Kita mahu ahli muda kita memahami DNA PBS, menghargai sejarah perjuangan parti serta membina integriti, keberanian dan rasa tanggungjawab yang diperlukan untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Kali Ke-41 di Hakka Hall, Tanjung Lipat, di sini hari ini.

Julita berkata, mekanisme pelaksanaan GBB akan diperincikan oleh kepimpinan baharu Ahli Majlis Tertinggi yang bakal dipilih perwakilan pada persidangan berkenaan.

Katanya, penubuhan platform itu juga selari dengan fasa pembaharuan kepimpinan PBS yang memberi penekanan lebih besar kepada usaha menyediakan ruang kepada pemimpin muda mengembangkan keupayaan sebelum memikul tanggungjawab lebih besar dalam parti.

“Masa depan PBS bukan hanya bergantung kepada usaha kita mempertahankan legasi yang telah dibina selama lebih empat dekad, tetapi juga kepada keupayaan kita menyediakan generasi baharu untuk meneruskan legasi tersebut.

“Kita perlu memberikan mereka ruang untuk mengambil bahagian, belajar dan memimpin, pada masa sama memastikan prinsip serta nilai teras PBS terus menjadi pegangan,” katanya.

Beliau berkata, pindaan Perlembagaan itu turut mencerminkan usaha berterusan PBS memperkukuh organisasi parti dan menyesuaikannya dengan perubahan landskap politik serta sosial semasa.

Menurutnya, GBB akan menjadi platform lebih tersusun untuk PBS mendekati golongan muda selain menggalakkan penyertaan mereka dalam aktiviti politik yang sihat, membina dan bertanggungjawab.

Turut hadir Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili; Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Pengasas, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Yee Moh Chai dan Datuk Seri Jahid Jahim; Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai serta Ketua Pemuda, Datuk Dr Christopher Mandut.