Lelaki dipercayai bunuh isteri sebelum kelar leher sendiri di Kalabakan

TAWAU: Seorang lelaki warga Indonesia dipercayai membunuh isterinya sebelum mengelar leher sendiri menggunakan sebilah sabit di sebuah rumah pekerja di Ladang Felda Umas 6, Jalan Kalabakan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu, mangsa berusia 37 tahun ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh, berkata pemeriksaan di lokasi mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala, leher dan tangan.

“Suspek berusia 38 tahun yang juga suami mangsa turut mengalami kecederaan dipercayai selepas mengelar leher sendiri.

“Suspek kini menerima rawatan di Hospital Tawau dan dilaporkan stabil serta ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk sebilah sabit dan sebatang kayu bagi membantu siasatan.

Rosdi berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hubungan rumah tangga selepas pasangan berkenaan pulang daripada bercuti.

“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan forensik, analisis DNA, laporan perubatan dan bedah siasat bagi melengkapkan siasatan.

“Sebarang pengakuan awal suspek masih tertakluk kepada pengesahan melalui bukti lain yang diperoleh sepanjang siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Tawau, Asisten Superintendan Maliki Majuni di talian 017-898 9171 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.