RANAU: Maklumat orang awam membantu polis mengesan kegiatan penjualan rokok yang disyaki tidak bercukai dalam Op Tiris di sekitar daerah ini, semalam.
Operasi dijalankan oleh Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di beberapa premis sekitar daerah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan beberapa kotak rokok yang disyaki tidak bercukai kastam.
Menurutnya, susulan itu, seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mursalin berkata, polis akan meneruskan rondaan dan pemeriksaan menerusi Op Tiris bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penjualan barangan yang menyalahi undang-undang di daerah itu.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan bagi membantu polis mengambil tindakan penguatkuasaan.
“Kerjasama masyarakat sebagai ‘mata dan telinga’ polis amat penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Ranau terus terpelihara,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat atas kerjasama yang diberikan kepada pihak polis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222.
“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.