PENAMPANG: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi kritikal selepas kereta jenis Proton Persona yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di bulatan JPJ, Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an, dengan seorang daripada mereka yang juga pemandu kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.21 pagi menerusi talian NG999.
Beliau berkata, jentera bomba tiba di lokasi enam minit kemudian dan mendapati sebuah Proton Persona terbabas sendiri sebelum terbakar.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang merupakan penumpang didapati tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bomba sebelum diserahkan kepada ambulans KKM untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I bagi mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.
Operasi dikawal pada jam 4.40 pagi dan ditamatkan sepenuhnya enam minit kemudian selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
“Seramai lapan anggota BBP Penampang dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah unit EMRS terlibat dalam operasi berkenaan, yang turut mendapat bantuan polis dan KKM,” tambahnya.