LAHAD DATU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas mengaku bersalah memiliki 538 mililiter cecair mengandungi racun jenis Diphenhydramine, Januari lalu.
Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu terhadap Lans Koperal Muhammad Azme Zainudin, 27, selepas menerima pengakuan bersalahnya terhadap pertuduhan berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki cecair berisipadu 538 mililiter yang mengandungi racun jenis Diphenhydramine di kawasan tepi jalan, Jalan Fajar, di sini, kira-kira 12.30 tengah hari pada 31 Januari lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952, dibaca bersama Seksyen 9(3) akta sama, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta berkenaan.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu yang melakukan serbuan di kawasan berkenaan kira-kira 1.24 tengah hari pada hari kejadian.
Pemeriksaan terhadap sebuah beg dan bakul motosikal yang digunakan tertuduh menemukan 23 botol cecair disyaki air ketum dengan anggaran isipadu 34.5 liter serta enam botol Dynadryl Syrup berisi cecair disyaki ubat batuk dengan anggaran isipadu 600 mililiter.
Bagaimanapun, hasil analisis Jabatan Kimia Malaysia, Tawau mendapati cecair dalam 23 botol berkenaan tidak mengandungi Mitragynine, manakala sampel daripada enam botol Dynadryl Syrup didapati mengandungi Diphenhydramine dengan isipadu keseluruhan 538 mililiter.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan beliau kini ditahan kerja susulan kes berkenaan dan satu-satunya pencari nafkah keluarga dan mempunyai tanggungan seorang isteri dan seorang anak.
Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan penjawat awam lain, selain menegaskan faktor kepentingan awam tidak boleh mengatasi kepentingan individu.