KOTA KINABALU: Pematuhan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 tidak memadai sekadar memenuhi keperluan undang-undang, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan polisi yang jelas, latihan berterusan kepada warga kerja serta sistem keselamatan data yang berkesan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Sharifah Rashidah Syed Othman berkata, setiap organisasi, khususnya dalam sektor kesihatan, perlu mengamalkan tadbir urus data yang sistematik bagi memastikan maklumat pesakit dilindungi daripada sebarang risiko penyalahgunaan atau kebocoran.
Menurutnya, antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah kawalan keselamatan yang munasabah, pengurusan akses secara sistematik, penyimpanan data yang selamat serta kesiapsiagaan menghadapi sebarang insiden keselamatan data.
“Pematuhan yang berkesan perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan polisi yang jelas, latihan berterusan kepada warga kerja, kawalan keselamatan yang munasabah, pengurusan akses secara sistematik, penyimpanan data yang selamat serta kesiapsiagaan menghadapi sebarang insiden keselamatan data.
“Perlindungan data peribadi bukan sekadar memenuhi tuntutan pematuhan undang-undang, malah menjadi asas kepada pembinaan kepercayaan pesakit, pengukuhan reputasi institusi kesihatan serta keyakinan masyarakat terhadap sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program PDPA Connect Sabah 2026: Towards a Smart and Safe Healthcare Data Ecosystem yang berlangsung di Dewan Bankuasi, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Sharifah berkata, program itu menghimpunkan pengawal data, institusi kesihatan, pemain industri dan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan cabaran serta amalan terbaik dalam memperkukuh tadbir urus data kesihatan yang selamat, berintegriti dan dipercayai.
Beliau berkata, PDPA Connect merupakan penjenamaan semula siri Persidangan Pengawal Data yang sebelum ini dianjurkan JPDP dengan pendekatan lebih inklusif dan interaktif bagi memperkukuh libat urus bersama pengawal data serta pihak berkepentingan.
Katanya, platform itu bukan sahaja meningkatkan kefahaman mengenai keperluan Akta 709, malah menjadi ruang kepada JPDP mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pengawal data mengenai cabaran sebenar yang dihadapi dalam melaksanakan pematuhan.
Menurutnya, sektor kesihatan dipilih sebagai fokus program kerana mengendalikan pelbagai data peribadi yang sensitif seperti rekod pesakit, diagnosis, keputusan makmal, maklumat insurans dan sejarah rawatan yang memerlukan tahap perlindungan tinggi.
“Setiap maklumat peribadi yang dikendalikan merupakan satu amanah. Di sebalik setiap rekod pesakit terdapat individu dan keluarga yang meletakkan kepercayaan kepada organisasi kesihatan untuk melindungi data mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pengawal data dalam sektor kesihatan menjadikan perlindungan data peribadi sebagai sebahagian daripada tadbir urus organisasi yang baik dan pengurusan risiko yang bertanggungjawab, sekali gus menyokong pembangunan ekosistem kesihatan digital yang lebih selamat dan diyakini.