Samantha Mae, Trio Silat sumbang dua emas buat Sabah

KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah terus mencipta kejayaan pada saingan SUKMA XXII Selangor 2026 apabila meraih dua lagi pingat emas menerusi acara Lompat Bergalah Wanita dan Silat Seni Regu Wanita hari ini.

Emas pertama disumbangkan atlet olahraga Samantha Mae Godfrey Binting menerusi acara Lompat Bergalah Wanita yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).

Samantha mencatat lompatan setinggi 3.45 meter untuk muncul juara sekali gus menghadiahkan emas buat Kontinjen Sabah.

Kejayaan itu hadir selepas Samantha berjaya mengatasi cabaran pesaing lain dalam aksi final, sekali gus menyempurnakan misinya pada temasya kali ini.

Atlet berkenaan turut mendapat bimbingan jurulatih Mohammad Farzurullah sepanjang persiapan menghadapi saingan SUKMA XXII.

Sementara itu, satu lagi emas hadir dari gelanggang Pencak Silat di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menerusi trio Manjaseerah Manuil, Sherlenna Binti Abdullah dan Fiffy Ferlisa Binti F Rien.

Trio Sabah muncul juara dalam acara Silat Seni Regu Wanita selepas menampilkan persembahan mantap pada aksi final.

Sabah mengumpul 9.920 mata, mengatasi Johor yang mencatat 9.905 mata.
Perbezaan hanya 0.015 mata itu bagaimanapun cukup untuk mengesahkan kedudukan Sabah di tempat teratas dan membawa pulang pingat emas.

Kejayaan trio berkenaan turut dibimbing jurulatih Mohd Aman Bin Jinli dan Muhammad Haafiz Bin Sadik.

Dua emas tersebut menambah koleksi pingat Kontinjen Sabah pada SUKMA XXII, selain menyuntik semangat kepada atlet negeri itu yang masih meneruskan saingan di venue masing-masing.

Kejayaan Samantha serta trio silat berkenaan membuktikan keupayaan atlet Sabah untuk terus memberi saingan sengit dalam temasya sukan kebangsaan kali ini.