Sambutan Hari Malaysia dipindahkan ke SICC berikutan jerebu

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah pada 16 September ini dipindahkan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) berikutan jerebu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, perpindahan lokasi sambutan dibuat bagi memastikan sambutan berkenaan dapat dilaksanakan seperti dirancang.

“Kita ubah tempat ke SICC berikutan keadaan jerebu yang melanda negeri dan negara kita.

“Perkara ini telah pun dipersetujui oleh Kabinet Negeri Sabah.

“Sambutan ini akan bermula pukul 8 malam dan akan berlangsung serentak dengan penganjuran di peringkat pusat di Kuching, Sarawak.

“Pelbagai pengisian menarik dirancang bagi memeriahkan malam sambutan tersebut.

“Antara pengisiannya ialah persembahan tarian, montaj persembahan Malaysia Madani serta hiburan artis tempatan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.

Kunjungan tersebut bertujuan memohon perkenan Tun Musa untuk hadir ke Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah.

Dalam pada itu, Jafry berkata, Sambutan Hari Malaysia juga telah dilaksanakan di beberapa agensi, terutamanya Arkib Sabah.

“Sambutan yang dibuat oleh Arkib Sabah telah bermula dan akan berakhir pada Jumaat ini.

“Arkib Sabah mengadakan pameran berkenaan dengan sambutan sejarah Hari Malaysia yang kita raikan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh masyarakat, khususnya penduduk Kota Kinabalu dan kawasan berdekatan, untuk hadir bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Josie Lai; Timbalan Setiausaha Tetap II KePKAS, Datin Cleopatra @ Clare Asing; dan Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Raime Unggi.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)