Persidangan KMPC VII bina kepimpinan berdaya tahan, tangani cabaran masa depan

KOTA KINABALU: Kinabalu Management and Professional Conference (KMPC VII) 2026 anjuran Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) menjadi platform menghimpunkan komuniti pengurusan dan profesional daripada pelbagai sektor bagi membina kepimpinan yang lebih berdaya tahan dalam menangani cabaran dan perubahan masa depan.

Persidangan edisi ketujuh itu membawa tema “Resilient Leadership: Building Trust and Transformation for Tomorrow”, yang memberi tumpuan kepada pembinaan kepercayaan, transformasi organisasi serta pembangunan kepimpinan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Caesar Mandela Malakun berkata, UMS mempunyai peranan penting dalam menyediakan platform yang menghimpunkan pelbagai pihak bagi membincangkan isu semasa dan berkongsi kepakaran.

“Peranan UMS penting dalam menyediakan ruang pertemuan antara pelbagai pihak untuk membincangkan isu serta mencari penyelesaian yang dapat memberi manfaat kepada negeri.

“Persidangan ini menjadi satu peluang penting bagi pakar akademik, industri dan kerajaan untuk bersama-sama menghimpunkan idea, menambah ilmu serta berkongsi pengalaman dalam mengatasi isu yang kita hadapi pada hari ini.

“Dengan adanya persidangan seperti ini, dalam jangka masa panjang, saya yakin kita dapat mencari jalan penyelesaian untuk banyak masalah yang kita hadapi di negeri ini,” katanya semasa merasmikan persidangan tersebut.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, landskap pengurusan masa kini menuntut kepimpinan yang bukan sahaja berdaya tahan, malah mampu memacu perubahan yang bermakna.

“Sesi-sesi yang disusun dalam persidangan ini dapat membantu peserta meneroka prinsip dan amalan kepimpinan berdaya tahan dalam konteks transformasi organisasi dan masyarakat.

“Saya amat menggalakkan semua peserta memanfaatkan sepenuhnya pertemuan ini dan mengambil sebanyak mungkin ilmu daripada perkongsian yang disampaikan oleh para penceramah.

“Mereka merupakan tokoh yang sangat berpengalaman dan berkaliber tinggi, serta membawa pengalaman dunia sebenar yang amat bernilai untuk dikongsikan dalam perbincangan kita,” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena persidangan tersebut.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

Tambah beliau, dengan bimbingan tokoh-tokoh yang terlibat dalam persidangan berkenaan, para peserta mampu meneliti bagaimana kepercayaan dan integriti dapat menjadi asas utama kepimpinan yang berkesan, di samping menggalakkan inovasi dan keterangkuman sebagai pemacu penting kepada pembangunan yang mampan.

KMPC VII juga katanya diharap dapat melahirkan barisan pemimpin dan profesional yang lebih berdaya tahan, berintegriti serta bersedia menghadapi cabaran pengurusan dan perubahan masa depan.

Hadir sama pada persidangan tersebut ialah Pengerusi Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Haji Abdul Aziz Dato Haji Husain; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr. Ahemad Sade; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Md. Hanafiah Datuk Seri Panglima Md. Kassim; Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin; Presiden PPUMS, Molly Donna Datuk Haji Awang Sham; dan Pengerusi KMPC VII, Al-Hami Zurairi Yahya Mahmood.