Kandungan agama mengelirukan di media sosial perlu ditangani – Nizam

TAWAU: Lambakan pencipta kandungan agama di media sosial yang menyampaikan fahaman mengelirukan perlu ditangani dengan memperbanyakkan program keagamaan yang dikendalikan penceramah berautoriti.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata masyarakat khususnya golongan belia dan wanita perlu diberikan lebih banyak ruang untuk mendapatkan ilmu agama daripada sumber yang sahih.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam juga boleh memainkan peranan penting dengan menganjurkan program keagamaan yang mendapat pandangan serta pengiktirafan pihak berautoriti agama.

“Kita berharap NGO Islam seperti Lembaga Kebajikan Perempuan Islam, NGO Selawat dan mana-mana pihak supaya lebih banyak menganjurkan program yang mempunyai autoriti ataupun diterima secara sah oleh pihak berkuasa agama.

“Kita khuatir jika ada pihak yang berselindung di sebalik agama menyampaikan ajaran yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program ceramah Menata Hati di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, hari ini.

Nizam berkata, perkembangan media sosial ketika ini menyaksikan semakin ramai individu tampil sebagai pencipta kandungan agama, namun masyarakat perlu lebih bijak menilai kesahihan maklumat yang disampaikan.

Menurutnya, tidak semua kandungan agama yang dikongsi di media sosial datang daripada individu yang mempunyai pengetahuan dan autoriti sewajarnya.

“Apa juga program yang ingin kita anjurkan, kita harus mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak berautoriti dalam agama Islam di negara kita, khususnya di Sabah.

“Ini penting supaya kandungan yang disampaikan tidak bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam berkata, sambutan menggalakkan terhadap program Menata Hati membuktikan masyarakat Tawau mempunyai minat tinggi terhadap program keagamaan yang memberikan pengisian berkaitan pengurusan hati, keimanan, reda dan menerima ketentuan Allah SWT.

Katanya, Dewan Masyarakat Tawau yang mempunyai kapasiti kira-kira 3,000 orang turut dipenuhi peserta sehingga sebahagian mereka terpaksa duduk di lantai.

“Ini menunjukkan masyarakat kita memerlukan program sebegini dan kita berharap lebih banyak program agama yang sahih serta mendapat pandangan pihak berautoriti dapat dianjurkan pada masa akan datang,” katanya.