TENOM: Program “Matematik Mantap, Tenom Hebat” merupakan satu inisiatif penting dalam membantu meningkatkan keyakinan dan pencapaian calon SPM 2026, khususnya dalam mata pelajaran Matematik.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pendidikan bukan hanya tanggungjawab sekolah dan guru, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama.
“Matematik pula mungkin menjadi antara mata pelajaran yang mencabar bagi sesetengah pelajar. Tetapi saya percaya, Matematik bukan soal siapa yang paling pandai, tetapi siapa yang sanggup terus mencuba, memahami dan tidak mudah berputus asa,” katanya ketika merasmikan Program Kecemerlangan Akademik Matematik SPM 2026 di SMJK Chung Hwa, Tenom di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Herbert Roger London.
Jamawi berkata, pelajar tidak seharusnya takut dengan Matematik dan perlu berani bertanya sekiranya tidak memahami sesuatu perkara.
“Kalau tidak faham, tanya. Kalau salah, cuba lagi. Kalau susah, jangan terus mengalah.
“Kadang-kadang jawapan yang kita cari bukan datang pada percubaan pertama. Tetapi melalui latihan, kesabaran dan bimbingan guru, perkara yang pada mulanya nampak susah boleh menjadi lebih mudah,” katanya.
Beliau berkata, SPM bukan sekadar mengenai mendapatkan keputusan yang baik, tetapi turut menjadi langkah penting dalam menentukan hala tuju pendidikan dan masa depan pelajar.
“Apa yang kamu lakukan hari ini akan memberi kesan kepada peluang kamu pada masa akan datang,” katanya.
Sehubungan itu, Jamawi menggesa calon SPM 2026 menggunakan program berkenaan sebaik mungkin dengan memberi perhatian kepada perkongsian guru dan penceramah, mengambil nota serta membuat latihan.
“Dan yang paling penting, percaya kepada kemampuan diri sendiri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tenom, pihak sekolah, guru, penceramah serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Katanya, kerjasama semua pihak menunjukkan bahawa sokongan lebih baik dapat diberikan kepada anak-anak di daerah Tenom.
“Kita mahu melihat lebih ramai anak Tenom berjaya. Bukan sahaja berjaya dalam SPM, tetapi berjaya melanjutkan pelajaran, membina kerjaya dan akhirnya kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan daerah kita,” katanya.
Jamawi berkata, kejayaan Tenom bermula dengan anak-anak Tenom yang mempunyai semangat untuk belajar dan mengejar impian.
“Tenom Hebat bermula dengan anak-anak Tenom yang hebat.
“Dan anak-anak yang hebat tidak semestinya mereka yang tidak pernah gagal. Tetapi mereka ialah anak-anak yang bangun semula setiap kali jatuh, terus belajar dan tidak berhenti mengejar impian,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas pelaksanaan program berkenaan dan berharap ia memberi manfaat kepada semua peserta serta membantu meningkatkan keyakinan dan pencapaian calon SPM 2026, khususnya dalam Matematik.