KOTA KINABALU: Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) memacu agenda pembangunan lestari masyarakat Orang Asal Borneo menerusi Persidangan Pembangunan Orang Asal Borneo ke-2 (PPOAB) 2026 yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini (7 Oktober).
Persidangan bertemakan “Ke Arah Pembangunan Lestari & Masyarakat Madani” itu menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pemimpin, wakil pertubuhan Orang Asal serta wakil agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
PPOAB 2026 dianjurkan oleh BorIIS UMS bersama Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), Indonesia, University College Sabah Foundation (UCSF), Borneo Studies Network (BSN) dan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah-Sunduan Nabalu.
Sebanyak 56 kertas kerja akan dibentangkan oleh ahli akademik dan pelajar pascasiswazah, khususnya dari Universiti Awam di Malaysia, sepanjang persidangan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata pembangunan masyarakat Orang Asal perlu melihat komuniti berkenaan sebagai rakan dalam pembangunan mampan dan bukan sekadar penerima bantuan.
“Masyarakat Orang Asal tidak seharusnya dilihat hanya sebagai penerima bantuan atau penerima program Pembangunan semata-mata. Sebaliknya, mereka perlu dilihat sebagai rakan Pembangunan mampan.
”Universiti mempunyai ilmu dan kepakaran. Kerajaan mempunyai peranan dan tanggungjawab. Industri mempunyai sumber komersial serta jaringan.
“Tetapi komuniti mempunyai sesuatu yang tidak boleh digantikan oleh mana-mana pihak iaitu pengalaman, identiti, pengetahuan setempat dan hubungan langsung dengan tempat yang mereka panggil sebagai tanah kelahiran. Apabila semua kekuatan ini digabungkan, kita boleh membina sesuatu yang jauh, lebih bermakna,” jelasnya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur PPOAB 2026 merangkap Pengarah BorIIS UMS, Profesor Madya Dr. Halina Sandera Mohd Yakin berkata program tersebut bertujuan menyampaikan hasil kajian dan idea inovatif yang mampu memberikan penyelesaian kepada isu kritikal yang dihadapi oleh komuniti Orang Asal.
“Pembangunan dan kesejahteraan masyarakat pribumi Borneo sangat penting dalam usaha memelihara budaya, menjaga kelestarian alam sekitar dan mempromosi hak asasi manusia serta kemampanan global.
“Pengetahuan dan amalan tradisional Orang Asal atau masyarakat lokal adalah elemen penting dalam pengurusan sosiobudaya dan biodiversiti yang berkesan.
“Dengan melibatkan perspektif Orang Asal dalam setiap inisiatif pembangunan, kita memastikan bahawa pertumbuhan ekonomi berjalan lancar seiring dengan pemeliharaan budaya dan alam sekitar,” ujarnya.
Dalam pada itu, PPOAB 2026 turut menyaksikan pemeteraian surat niat (LoI) antara BorIIS UMS bersama enam pertubuhan komuniti bagi meneroka kerjasama dalam penyelidikan, pertukaran ilmu serta pemuliharaan warisan dan budaya masyarakat Orang Asal.
Enam pertubuhan komuniti tersebut ialah Lotud Community Learning Centre (LCLC), Persatuan Masyarakat Murut Sipitang, Persatuan Suku Dusun Tompizos Sabah (PSDTS), Smart Bah Technology Sdn. Bhd., Persatuan Hab Sehenti Sokongan Masyarakat Kota Belud (SSK Centre) dan Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS).
Kerjasama tersebut diharap dapat membuka ruang kepada pelaksanaan inisiatif yang lebih berimpak dalam menyokong pembangunan,kelestarian warisan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asal di Kota Belud dan Sabah secara amnya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Maijol Mahap.