100 pengerusi JKKK dilantik bantu DBKK tangani isu kampung

KOTA KINABALU: Seramai 100 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima watikah pelantikan bagi membantu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menangani pelbagai isu di peringkat kampung.

Daripada jumlah itu, sebanyak 25 JKKK adalah dari kawasan DUN N.16 Karambunai, N.17 Darau (sembilan), N.18 Inanam (56), N.21 Luyang (dua) dan N.22 Tanjung Aru (lapan).

Mayor Bandar Raya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, setiap JKKK yang dilantik akan mempunyai 13 ahli jawatankuasa bagi membantu melaksanakan tugas dan tanggungjawab di kawasan masing-masing.

Menurutnya, pelantikan berkenaan yang dibuat oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar diharap dapat memperkukuh peranan JKKK dalam membantu meningkatkan keteraturan dan kesejahteraan kampung.

“Dengan pelantikan yang dibuat ini, kita berharap Pengerusi JKKK yang baharu dilantik dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

“Mereka juga dapat membantu DBKK dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk memastikan keteraturan di kampung bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JKKK di sini, hari ini.

Sabin berkata, antara isu yang memerlukan perhatian dan kerjasama JKKK bersama DBKK termasuk aspek kebersihan, pencerobohan setinggan serta kegiatan jenayah kecil.

Katanya, isu lain yang turut diberi perhatian ialah kecurian kabel, kerosakan lampu jalan serta kerosakan terhadap harta benda kerajaan.

“Pada masa sama, DBKK akan bekerjasama dan meningkatkan interaksi dengan lebih kerap supaya kita dapat mengetahui keperluan yang diperlukan di kampung tersebut.

“Mana-mana perkara yang perlu diselesaikan di peringkat DBKK, kita akan selesaikan. Yang perlu dibawa kepada kementerian, kita bawa kepada kementerian ataupun Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan sesi percambahan fikiran atau brainstorming bagi memperkukuh interaksi antara pihak kerajaan dengan JKKK.

Katanya, DBKK turut bercadang melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam sesi berkenaan bagi mendapatkan pandangan serta cadangan daripada JKKK mengenai keperluan penduduk di kawasan masing-masing.

“Ini penting kerana mereka yang lebih tahu keadaan dan situasi di kampung masing-masing.

“Jadi, kita boleh dengar cadangan daripada mereka untuk mengenal pasti perkara yang diperlukan dan tindakan yang boleh diambil,” jelasnya.

Beliau berkata, kerjasama lebih erat antara JKKK dan DBKK juga penting bagi memastikan isu yang berlaku di peringkat kampung dapat dikenal pasti lebih awal sebelum disalurkan kepada pihak atau agensi berkaitan.

“Pendekatan itu membolehkan keperluan penduduk disampaikan dengan lebih jelas kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.