Penunggang motosikal maut selepas bertembung Axia di Jalan Apas

TAWAU: Seorang lelaki warga asing maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia ketika kenderaan itu dipercayai sedang melakukan pusingan U di Batu 3½, Jalan Apas, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.08 tengah hari itu, mangsa berusia 19 tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 12.36 tengah hari oleh pegawai perubatan ambulans Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dipandu seorang wanita tempatan berusia 31 tahun sedang melakukan pusingan U.

Menurutnya, motosikal jenis Honda FS150 yang ditunggang mangsa kemudian melanggar bahagian kiri kereta berkenaan.

“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil semakan mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, punca kemalangan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

Rosdi berkata, tindakan siasatan termasuk pemeriksaan kenderaan terbabit, pengambilan sampel darah untuk analisis toksikologi serta usaha mengesan saksi bebas sedang dijalankan.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurwati Ismail, menerusi talian 010-932 6155 bagi membantu siasatan,” katanya

Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang lalu lintas, memiliki lesen memandu sah mengikut kelas kenderaan serta sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya.

Katanya, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan kerana kecuaian boleh mengakibatkan kecederaan parah atau kehilangan nyawa.