Cicak di dinding Gunung Alab rupanya spesies baharu dunia

KOTA KINABALU: Kelihatan seperti cicak biasa yang merayap di dinding dan cucur atap bangunan di Gunung Alab, Banjaran Crocker, namun penyelidikan saintis Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapati haiwan kecil itu sebenarnya spesies baharu yang belum pernah diketahui dunia sains.

Spesies berkenaan dinamakan Lepidodactylus crockcrensis, atau Cicak Mourning Banjaran Crocker, sempena lokasi ia ditemukan di Banjaran Crocker, Sabah.

Penemuan itu disahkan menerusi analisis genetik dan morfologi terperinci oleh pasukan penyelidik diketuai Prof. Madya Dr. Evan S.H. Quah dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS, bersama Aderina Dukit dari Monash University, Fred Y.Y. Tuh dari Taman-Taman Sabah dan L. Lee Grismer dari La Sierra University.

Maka, penemuan spesies baharu itu diterbitkan pada 22 September 2026 dalam jurnal taksonomi antarabangsa, Zootaxa.

Menariknya, spesimen asas atau holotip bagi spesies itu dikumpulkan Dr. Quah pada 23 Ogos 2025 di pondok lama Rhododendron, Gunung Alab, pada ketinggian 1,909 meter dari aras laut.

“Cicak berkenaan ditemui pada waktu malam dalam keadaan dingin dan berkabus dengan suhu sekitar 14 hingga 16 darjah Celsius.

“Selain di pondok lama Rhododendron, beberapa individu turut diperhatikan pada dinding dan cucur atap bangunan berhampiran, dipercayai memakan serangga yang tertarik kepada cahaya,” katanya.

Bagaimanapun, rupa fizikalnya yang hampir menyerupai Lepidodactylus ranauensis, spesies endemik Borneo yang dikaitkan dengan Gunung Kinabalu, menyebabkan pengenalpastian spesies baharu itu memerlukan penelitian saintifik lebih mendalam.

Analisis genetik mendapati populasi cicak Gunung Alab membentuk jalur evolusi tersendiri yang berbeza daripada L. ranauensis, selain menunjukkan perbezaan ketara dari segi morfologi dan susunan sisik.

Kedua-dua spesies itu turut dipisahkan secara geografi dengan jarak kira-kira 36 kilometer antara banjaran gunung masing-masing, manakala habitat tanah rendah yang tidak sesuai dipercayai menjadi pemisah antara kedua-duanya.

Penemuan itu menjadikan Lepidodactylus crockcrensis hanya spesies ketiga daripada genus Lepidodactylus yang direkodkan di Borneo, sekali gus menambah pengetahuan mengenai evolusi dan endemisme haiwan di kawasan pergunungan pulau itu.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, berkata penemuan tersebut membuktikan Sabah masih menyimpan kekayaan biodiversiti yang belum diketahui sepenuhnya dunia sains.

“Ini lebih daripada sekadar penemuan satu spesies baharu. Ini adalah penemuan ilmu baharu dari Sabah yang kini menjadi sebahagian daripada rekod sains dunia,” katanya.

Beliau berkata penemuan itu turut mencerminkan kekuatan penyelidik UMS serta kepentingan Sabah sebagai lokasi penting bagi penyelidikan biodiversiti.

Dalam pada itu, Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim, berkata penemuan spesies baharu mengingatkan kepentingan meneruskan usaha mendokumentasikan biodiversiti Sabah.

“Kita tidak boleh memulihara apa yang kita tidak tahu kewujudannya,” ujarnya.

Menurutnya, Sabah bukan sahaja kaya dengan biodiversiti yang telah dikenal pasti, malah masih berkemungkinan mempunyai spesies yang belum ditemui dan didokumentasikan secara saintifik.

Buat masa ini, L. crockcrensis hanya diketahui terdapat di sekitar Substesen Gunung Alab, Taman Banjaran Crocker.

Penyelidik percaya spesies itu mungkin mempunyai taburan lebih luas di habitat tanah tinggi yang sesuai, namun kajian lanjut diperlukan bagi menentukan taburan sebenar, saiz populasi dan keperluan ekologinya.

Atas faktor maklumat yang masih terhad, termasuk spesies itu hanya diketahui dari satu lokaliti, pasukan penyelidik mengesyorkan supaya L. crockcrensis dikategorikan sebagai Kekurangan Data (Data Deficient, DD) bagi tujuan penilaian pemuliharaan.

Spesimen yang menjadi asas penetapan spesies baharu itu kini ditempatkan dalam Koleksi Zoologi BORNEENSIS di IBTP, UMS, manakala spesimen pendua akan dikongsi bersama Taman-Taman Sabah bagi menyokong penyelidikan biodiversiti pada masa hadapan.