Lelaki warga asing didakwa edar lebih 2 kg dadah ‘Zombi’

TAWAU: Seorang lelaki warga Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis fentanyl atau lebih dikenali dadah ‘zombi’ seberat 2,227.76 gram, bulan lepas.

Abd Rahim Salleh, 37, hanya mengangguk dan menyatakan faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis fentanil seberat 2,227.76 gram di kawasan berhampiran sebuah kilang di Lorong Anson, di sini, kira-kira 2 petang, 28 September lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah dimaklumkan bahawa tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.

Pendakwaan turut memohon satu tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 November ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia sebelum kes itu dipindahkan untuk prosiding di Mahkamah Tinggi.