Kalau mahu pembayaran RM1.5 bilion interim diteruskan, kekalkan kerajaan Madani, kata Mustapha

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu mengekalkan kerajaan Madani sekiranya mahu bayaran interim RM1.5 bilion daripada Kerajaan Persekutuan terus dilaksanakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata, daripada jumlah RM1.5 bilion berkenaan, RM600 juta sudah dibayar dan diwartakan sebelum ini, manakala baki RM900 juta akan dibayar secara sekaligus kepada kerajaan negeri Sabah.

“Kalau mahu kita terus bayar, kita kekalkan kerajaan Madani. Jangkaan sebelum hujung tahun pembayaran akan dibuat kepada kerajaan negeri Sabah.

“Sebenarnya RM600 juta sudah dibayar, itu yang telah diwartakan. Sekarang ini ditambah RM900 juta untuk menjadi RM1.5 bilion,” katanya ketika ditemui media.

Menurutnya, pembayaran interim RM1.5 bilion itu akan dikekalkan untuk tempoh lima tahun, namun boleh berubah sekiranya terdapat tuntutan atau permintaan baharu daripada kerajaan negeri Sabah.

“RM900 juta itu akan dibayar sekaligus. RM1.5 bilion interim itu akan kekal dalam masa lima tahun, kecuali ada lagi perubahan-perubahan yang akan diminta oleh kerajaan negeri, terutamanya,” katanya.

Mustapha berkata, hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih yang diperoleh Persekutuan dari negeri itu adalah perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlu dipenuhi oleh mana-mana kerajaan yang memerintah.

“Dalam Perlembagaan negara, 40 peratus itu memang dalam perlembagaan. Siapa pun kerajaan, dia kena penuhi.

“Cuma kita ialah komitmen kerajaan tersebut. Tetapi bagi kerajaan Madani, kita yakin kita mahu akan selesaikan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, kedudukan kewangan negara yang masih belum begitu stabil menyebabkan komitmen kerajaan ketika ini tertumpu kepada pembayaran interim RM1.5 bilion kepada Sabah.

“Setakat ini komitmen kita untuk bayar RM1.5 bilion interim itu saja,” katanya.